JUN 2025

Premier Yakin Sarawak Maju Pada 2030


LIMBANG: Premier Sarawak, Datuk Patnggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menzahirkan keyakinan negeri ini mampu mencapai matlamat status negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Beliau berkata, ini berdasarkan peningkatan hasil negeri hampir tiga kali ganda daripada kira-kira RM5 bilion lapan tahun lalu kepada RM15 bilion pada tahun lalu.

Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak yang dipacu oleh pelaburan strategik dalam infrastruktur dan teknologi hijau pula diunjurkan melepasi 5.0 peratus pada penghujung tahun ini, katanya pada Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong 2025 Peringkat Sarawak di Dewan Suarah Limbang di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibaca Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Menurut Abang Johari prestasi cemerlang yang dicapai Sarawak adalah hasil kestabilan politik, perpaduan rakyat dan dasar-dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak.

Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang dilancarkan pada Julai 2021, katanya, merupakan pelan halatuju untuk mentransformasikan ekonomi Sarawak daripada sebuah ekonomi tradisional kepada sebuah ekonomi baharu yang dipacu oleh data dan innovasi dan berpaksikan dasar ekonomi hijau.

“Melalui PCDS 2030, saya yakin Sarawak akan menjadi sebuah ekonomi yang maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030 yang memberi penekanan kepada dasar untuk menjamin keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar,” katanya.

Hadir sama Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat merangkap menteri yang bertanggungjawab bagi Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong ke-17 Peringkat Sarawak 2025, Dato Sri Roland sagah, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan Sarawak (Pelancongan), Datuk Sebastian Ting Chiew Yew dan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata.

Abang Johari berkata Sarawak terus berada dalam keadaan aman dan damai sejahtera serta pertumbuhan ekonomi yang semakin meningkat dalam Malaysia.